Mata Juling | Vista Eye Specialist

Mata juling adalah antara perkara penting yang tidak boleh dipandang ringan oleh ibu bapa. Jika tidak dirawat dengan sempurna, ia boleh memberi impak kepada fizikal, emosi serta mental anak. Hal ini kerana, kanak-kanak yang menjalani kehidupan sebagai individu juling secara tidak langsung boleh mempunyai masalah sosial, kurang keyakinan diri serta sering berasa kekurangan di samping rakan-rakan. 

Mata juling merupakan satu keadaan apabila satu atau kedua-dua belah mata tidak selari dan melihat ke arah berlainan. Ini berlaku apabila otot mata tidak dapat mengawal pergerakan mata dengan sempurna.  Selain disebabkan faktor gaya hidup, juling juga boleh terjadi disebabkan keturunan. 

 

Berikut merupakan jenis-jenis juling: 

  • Esotropia – juling ke dalam 
  • Eksotropia – juling ke luar 
  • Hipertropia – juling ke atas 
  • Hipotropia – juling ke bawah 

Bagi mereka yang menghadapi masalah juling, pergerakan mata mereka akan kelihatan berbeza sama ada bergerak ke luar dan dalam ataupun atas dan bawah. Selain itu, sesetengah mereka yang menghadapi masalah juling juga mengalami gejala penglihatan kabur atau penglihatan berganda. 

Kesan jangka panjang mata juling 

  • Mata yang juling boleh menyebabkan ketidaksempurnaan penglihatan dalam kalangan kanak-kanak. Jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh mengakibatkan mata malasl dalam kalangan kanak-kanak. 
  • Selain ketidaksempurnaan penglihatan, kanak-kanak juling juga berisiko memberi kesan fizikal kepada posisi badan kanak-kanak. Sebagai contoh, kanak-kanak juling mungkin tidak berupaya untuk berjalan dengan sempurna. 
  • Selain itu, mata juling juga menyebabkan kesukaran dalam menganggarkan jarak dan persepsi 3D. 

Bagaimanakah ia boleh dirawat?

  • Melakukan pemeriksaan dengan doktor/pakar mata.
  • Menggunakan cermin mata sekiranya ada masalah rabun.
  • Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah ambliopia (mata malas), rawatan menutup mata yang mempunyai penglihatan yang baik, boleh membantu memulihkan penglihatan pada mata yang juling. Bagaimanapun, peluang untuk pulih akan berkurangan jika rawatan lambat dilakukan. 
  • Pembedahan boleh merawat mata juling agar kembali selari.