Selaput Mata | Vista Eye Specialist

Penyakit selaput mata atau katarak merupakan antara penyebab kebutaan selain glaukoma dan diabetik retinopati. Katarak adalah keadaan dimana lensa mata yang jernih menjadi keruh yang menganggu kemasukan cahaya untuk sampai ke retina. Katarak boleh berlaku pada sebelah mata sahaja atau di kedua-dua belah mata.

 

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah katarak ini, Antaranya adalah:

1. Peningkatan usia (penuaan)
Penyebab utama katarak adalah peningkatan usia. Protein yang terdapat dalam lensa mata akan  bergumpal  bersama dan membentuk selaput.

2. Katarak bawaan sejak lahir (kongenital)
Kanak-kanak atau bayi juga berisiko untuk mendapat masalah katarak jika ibu mendapat jangkitan kuman seperti Rubela ketika kehamilan. Selain itu kelainan genetik atau kromosom seperti Down syndrome boleh menyebabkan masalah katarak.

3. Trauma atau kecederaan pada lensa mata
Kecederaan pada lensa mata akan meningkatkan risiko terjadinya masalah katarak. Oleh itu, penggunaan cermin mata keselamatan amat digalakkan ketika melakukan kerja seperti memotong besi atau kayu.

4.Komplikasi pengambilan ubatan seperti steroid
Pengambilan ubatan berpanjangan yang mengandungi steroid akan meningkat risiko katarak. Jika perlu mengambil ubatan mengandungi steroid untuk rawatan penyakit seperti Systemic Lupus Eritematosus (SLE), pemeriksaan mata berkala amat digalakkan.

5. Dedahan kepada radiasi atau ultraviolet
Cahaya matahari mempunyai ultraviolet A dan B yang boleh merosakkan  struktur lensa mata. Pendedahan berpanjangan akan mempercepatkan masalah katarak.

 

Kesan

Gejala atau kesan yang selalu dihadapi oleh pesakit katarak adalah kabur penglihatann tanpa rasa sakit, penglihatan berganda pada sebelah mata, kesukaran memandu di waktu malam, rabun malam, kerap menukar preskripsi cermin mata atau melihat warna kelihatan pudar.

 

Rawatan

Penggunaan cermin mata baru, pencahayaan yang sesuai atau bantuan visual yang lain mungkin berkesan untuk merawat masalah katarak di peringkat awal.  Setakat ini, tiada rawatan yang berasakan ubat-ubatan,ubat titis atau senaman untuk menghentikan atau melambatkan  katarak.

Rawatan pembedahan merupakan rawatan yang paling berkesan untuk masalah katarak. Rawatan pembedahan mengganti kanta mata (Intraocular lens (IOL)) akan disyorkan oleh pakar mata bila kejelasan penglihatan tidak lagi dapat dibetulkan dengan pemakaian cermin mata atau aktiviti seharian mulai terganggu disebabkan gangguan pandangan akibat katarak.

Terdapat dua jenis pembedahan katarak iaitu, ECCE (Extracellular Cataract Extraction) ataupun phacoemulsification.

ECCE memerlukan bukaan luka yang lebih besar (lebih kurang 7mm). Isi kanta akan dikeluarkan, implan kanta (IOL) akan dimasukkan ke dalam beg kanta dan memerlukan jahitan.

Manakala phacoemulsification merupakan teknik baru yang lebih ringkas dan selamat.  Pembedahan ini hanya memerlukan bukaan luka yang lebih kecil (lebih kurang 3mm). Isi kanta akan disedut keluar melalui bukaan 3mm dengan bantuan tenaga ultrasound. Kemudian, kanta mata palsu (IOL) akan dimasukkan  ke dalam beg kanta.